UFASt mendapat pensijilan SAGA daripada JANM
Sistem Kewangan & Perakaunan Universiti (UFASt) mendapat pensijilan SAGA daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia
Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau SAGA Bil 1/2019 yang dipengerusikan oleh Dato’ Dr. KSU KPM, UKM disasarkan untuk mendapat Sijil Pematuhan SAGA (Standard Accounting System for Government Agencies) dalam tahun 2019. Jawatankuasa Pelaksana dan Jawatankuasa Petugas SAGA telah diwujudkan untuk memastikan sasaran ini dapat dicapai. Alhamdulillah, UKM telah melepasi sesi penilaian daripada panel penilai setelah melepasi 5 sesi semakan bersama Jabatan Audit Negara.
Antara kelebihan sistem kewangan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan seperti dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bil 3 Tahun 2018 – Pelaksanaan, Pemantauan dan Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) antaranya adalah:
- Sistem yang telah dibangunkan memenuhi standard perakaunan yang telah ditetapkan
- Merupakan amalan terbaik dalam perakaunan
- Laporan yang dikeluarkan lebih tepat, cekap dan terkini dan berupaya untuk memberi maklumat kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan
- Kawalan dalaman dan keselamatan yang lebih selamat
- Sistem yang boleh dipercayai dengan ciri-ciri seperti berikut:
- audit trail yang baik untuk setiap perubahan data perakaunan,
- sistem yang lebih fleksibel
- kawalan-kawalan capaian mengikut standard yang ketat
- keselamatan data yang disimpan di dalam pangkalan data terpelihara dengan beberapa kaedah ‘backup’ yang digunakan.
UKM telah berusaha untuk memenuhi kriteria pematuhan SAGA ini pada tahun 2014 dan dihentikan sementara disebabkan oleh pelaksanaan GST serta digerakkan semula pada awal tahun 2017. Pengurusan tertinggi UKM memberikan komitmen dan sokongan penuh di atas usaha untuk mendapatkan pensijilan ini dengan menetapkan KPI kepada Jabatan Bendahari bagi memastikan sijil pematuhan ini diperolehi pada tahun 2019.
Sistem Kewangan dan Perakaunan Universiti (UFASt) dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman melalui gabungan Jabatan Bendahari dan Pusat Teknologi Maklumat (PTM). Kini, UFASt berintegrasi dengan 14 sistem utama universiti dan 12 sistem yang melibatkan pembayaran secara online menggunakan ePayment UKM.
UFASt dibangunkan dengan mengambilkira keperluan maklumat dan proses kewangan semua pihak berkepentingan dan kemajuan teknologi terkini, maklumat kewangan dapat dicapai dan terkemaskini secara harian.
Dari segi keperluan teknikal juga, UKM menitik beratkan tentang keperluan keselamatan data-data kewangan dengan memperuntukkan RM1 juta pada tahun 2018 untuk melengkapkan prasarana ICT dan keselamatan data. Dengan itu, sehingga Mei 2019, keperluan teknikal telah dapat dipenuhi sepenuhnya. Proses-proses kawalan ID, penyediaan beberapa lapis ‘firewall’ untuk memastikan capaian terhadap sistem UFASt diberi perlindungan dan kawalan fizikal yang optimum.
UKM juga mempunyai pelan pemulihan bencana dengan lokasi DRC berada dalam lingkungan yang diperlukan oleh piawaian DRC. Dari segi penyaluran data kewangan kepada pihak berkepentingan, penyulitan data dan audit trail di dalam sistem dan di peringkat pangkalan data antara kawalan-kawalan yang telah berjaya dilaksanakan untuk memastikan keselamatan data kewangan UKM.
Dengan mengambilkira semua kriteria SAGA yang ditetapkan, UFASt telah diberikan Sijil Pematuhan SAGA. Pengiktirafan ini juga sangat bermakna kepada universiti terutamanya Jabatan Bendahari dan PTM.
Terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi UKM, dan setinggi penghargaan serta tahniah kepada Jabatan Bendahari dan Pusat Teknologi Maklumat kerana telah berada sehingga ke tahap ini. Ucapan terima kasih juga kepada pihak sekretariat Jabatan Akauntan Negara kerana membimbing dan memastikan UKM melepasi kriteria yang telah ditetapkan.